loading...
  • Geek Central
  • 13A-31, Level 14, Plaza Azalea
    Persiaran Bandar Raya, Seksyen 14
    40000 Shah Alam
    Selangor Darul Ehsan, Malaysia

5 Sebab Penjenamaan Digital Penting Untuk Ketahanan Bisnes

Kita Semua Warga Digital

Gaya hidup digital sudah menjadi lumrah seluruh masyarakat tanpa mengira usia, pendapatan atau latar belakang. Pelbagai tugasan harian kini boleh diselesaikan dengan aplikasi pembankan, e-dagang, e-hailing dan banyak lagi.

Era norma baru pasca Covid-19 memberi impak negatif kepada bisnes besar dan juga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Bagaimanapun, pengalaman menempuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan penggunaan capaian digital meningkat dengan mendadak dan menjadi salah satu norma baru pemasaran. Ini membuka peluang untuk bisnes, terutamanya PKS untuk mengutamakan penjenamaan digital. Usaha ini akan mengukuhkan posisi pemasaran mereka di dalam era norma baru dan di masa hadapan.

93% pengalaman atas talian bermula dengan enjin carian dan 47% orang mengklik salah satu daripada tiga capaian pertama (Search Engine Journal)

Pemasaran Tiada Sempadan

Pemasaran digital dapat mengukuhkan pemasaran setempat dan juga membuka pasaran ke seluruh dunia. Keupayaan untuk mencapai pelanggan secara digital digabungkan dengan perkhidmatan penghantaran yang semakin meluas membantu bisnes melebarkan rangkaian pelanggan mereka.

Laman carian seperti Google, media sosial, terutamanya Facebook dan Instagram serta laman-laman e-dagang seperti Lazada, Fashion Valet dan Shopee memberi peluang kepada PKS untuk mencapai dan dijumpai jutaan pelanggan tempatan dan dari seluruh dunia.

Di samping melangkaui sempadan geografi, pemasaran digital juga membantu bisnes melangkaui sempadan masa kerana ianya tidak tertakluk kepada waktu perniagaan sahaja, malah beroperasi secara 24/7/365.

Pada tahun 2019, Malaysia mempunyai kadar penembusan 67% untuk membeli-belah atas talian (anggaran 15.3 juta pembeli) (Infocubic)

Kredibiliti Atas Talian Menjana Kejayaan

Apabila meghadapi pilihan yang amat luas, pelanggan akan menilai kredibiliti atas talian setiap bisnes untuk memastikan mereka mendapat nilai maksima daripada setiap pembelian.

Laman web yang terkini dari segi produk, maklumat dan juga penampilan memberi keyakinan kepada pelanggan untuk membuat pembelian secara atas talian. FAQ yang menyeluruh dan testimonial atau ulasan pelanggan yang positif juga amat membantu pelanggan untuk membuat penilaian. Nama domain yang tersendiri juga memperkasakan penjenamaan digital sesuatu bisnes.

Aplikasi seperti Google My Business dan Google Shop juga penting untuk bisnes dijumpai dalam carian pelanggan setempat. Pastikan maklumat seperti alamat, waktu buka, nombor telefon dan e-mel sentiasa dikemaskinikan. Gambar profil kedai atau katalog produk yang menarik dan berkualiti pula akan memberi imej professional kepada jenama anda.

Untuk kredibiliti di media sosial pula, pastikan maklumat sentiasa dikemaskini dan posting dibuat dengan kerap. Jangan biarkan laman media sosial anda sunyi dan sepi. Fokuskan usaha anda kepada satu atau dua platform utama sahaja yang paling berkesan untuk jenama anda. Lebihkan pemasaran kandungan dibandingkan promosi jualan yang mempunyai risiko dilihat sebagai hard selling jika tidak seimbang.

Pemasaran Menggunakan Pelbagai Saluran

Tidak memadai jika pemasaran sekadar dilakukan melalui satu atau dua saluran sahaja. Di samping laman web dan laman media sosial tersendiri, terdapat pelbagai saluran lagi yang mampu menghebatkan lagi pemasaran digital anda.

Pemasaran melalui aplikasi-aplikasi on-demand membantu PKS untuk mencapai pelanggan secara khusus untuk sektor-sektor tertentu. Sebagai contoh, aplikasi GrabFood dan FoodPanda untuk makanan, aplikasi Serv dan Carpit untuk mekanik kereta, dan aplikasi ServisHero dan Kawdim untuk perkhidmatan pembaikan rumah. Laman-laman e-dagang yang disebutkan di atas juga boleh memainkan peranan yang sama.

Tambahan lagi, aplikasi chat seperti Whatsapp Business dan Facebook Messenger akan memberi pelanggan anda saluran yang lebih pantas untuk berinteraksi dengan jenama anda. Dengan saluran-saluran pemasaran yang semakin meriah seperti ini, PKS haruslah menambah baik kemahiran pemasaran digital mereka untuk mengurus setiap satu saluran dengan efektif.

Data Membantu Mencapai Keputusan Lebih Mampan

Dalam era data raya, data merupakan aset yang amat bernilai untuk syarikat besar mahupun PKS untuk mencapai keputusan strategik dalam pengurusan perniagaan. Dengan pemasaran yang lebih dinamik, analisa data pemasaran menjadi suatu usaha yang perlu diberi perhatian penuh.

Analisa data pemasaran seperti analisa carian laman web, capaian pemasaran media sosial, profil dan sentimen pelanggan, data jualan dan inventori dan sebagainya akan memberi anda kelebihan dalam membandingkan pencapaian di antara kempen-kempen promosi dan menentukan hala tuju pemasaran anda yang lebih berimpak.

Walaupun analisa data nampak sebagai suatu usaha besar dan seolah-olah hanya mampu dijalankan oleh syarikat-syarikat besar, banyak aplikasi pemasaran dan analisa data yang mensasar PKS secara khusus.

Aplikasi seperti Google Analytics, RavenTools, Grow dan Sycarda mempunyai pelan percuma atau mampu bayar. Ianya juga mudah untuk difahami dan dipraktikkan oleh PKS dan disokong video tutorial atau kursus atas talian yang juga percuma atau mampu bayar .

1 comment / feedback
  1. Nurul hidayah bt abdul hamid

    10th August 2020 at 4:35 pm

    Setuju.. Zaman era digital semue lapisan sudah pandai menggunakan platform digital untuk membeli belah melalui platform e dagang

Leave a Reply